Bharian: Pemberontak Huthi rampas laluan utama
DUBAI: Puak pemberontak Huthi semalam menewaskan pasukan tentera kerajaan di utara dan timur Sanaa serta merampas laluan strategik dalam pertempuran berbahaya, kata penyokong setia pegawai tentera.
Sumber prokerajaan berkata, puak pemberontak juga menawan laluan menghubungkan Sanaa dengan wilayah Marib hingga ke timur serta Jawf ke utara, selain puluhan terkorban atau cedera dalam pertempuran sekitar Sanaa, sejak 48 jam lalu.
"Huthi kini mahu menuntut Hazm, bandar raya wilayah Jawf. Puak pemberontak kini berada lima kilometer dari bandar," kata sumber yang enggan identitinya didedahkan.
Sebelum pertempuran mendadak terbaru itu, kebanyakan kawasan di wilayah Jawf serta sebahagian wilayah di Marib dikuasai Huthi dengan bandar raya dua lokasi itu masih dalam penguasaan kerajaan.
Pertempuran terbaru yang meletus hampir dua minggu lalu, membabitkan serangan peluru berpandu di kem penyokong setia tentera yang mengorbankan 116 orang, pada 18 Januari lalu.
Di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kekecohan yang tercetus itu menyebabkan Britain meminta satu mesyuarat Majlis Keselamatan diadakan, dijadualkan pada 1500 GMT semalam, dengan kenyataan bersama dijangka dikeluarkan selepas mesyuarat tertutup itu, kata diplomat.
Selain itu, katanya, wakil PBB ke Yaman, Martin Griffiths, dijadual membentangkan laporan berkenaan situasi di Yaman menerusi sambungan video.
Pertempuran berlarutan selama lima tahun itu meletakkan negara berkenaan dalam keadaan huru-hara.
Semalam, peluru berpandu membedil pasar di barat bandar Taiz dekat barat daya Yaman, mengorbankan tiga orang awam, manakala tujuh lagi cedera dengan serangan itu dikatakan dilakukan Huthi, lapor agensi media Saba. - AFP
Sumber : Bharian.com.my